Tinjauan Bernama mendapati hujan sejak petang semalam, tidak menghalang peminat Harimau Malaya untuk mula hadir ke Stadium Nasional seawal 8 malam, sebagai tanda sokongan buat skuad kendalian Kim Pan Gon.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir bersama barisan kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyaksikan tayangan berkenaan, berharap skuad Harimau Malaya menunjukkan persembahan terbaik Malaysia yang layak ke Piala Asia secara, merit selepas penantian selama 42 tahun.
"Pengorbanan mereka kita hargai dan sokongan yang diberikan kenapa mereka cukup baik. Saya harap mereka tidak bazirkan peluang ini untuk beraksi dengan lebih baik pada kesemua aksi Piala Asia," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
KBS menganjurkan tayangan skrin besar secara langsung di 16 enam di seluruh negara, termasuk Stadium Nasional.
Turut senada dengan Hannah ialah atlet para renang Selangor Muhd Aqif Iskandar, yang berharap skuad Harimau Malaya dapat menonjolkan permainan yang cantik tanpa memikirkan soal menang atau kalah.
Selain menumpukan perhatian terhadap aksi lincah pemain sayap kanan Arif Aiman Mohd Hanapi, beliau turut menumpukan perhatian terhadap penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
"Seperti kita tahu dia tidak banyak diuji dalam Liga Malaysia, melainkan kita dapat lihat aksi beliau dalam Piala Asia. Saya harap dia dapat menggunakan pengalamannya dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan ini," katanya.
Pengunjung lain Azhar Mohd Yassin, 61, pula meletakkan harapan yang tinggi terhadap pasukan kebangsaan untuk mendapatkan kedudukan lebih baik dalam kejohanan itu.
"Kalau boleh pegi jauh, mungkin boleh jadi pemangkin semangat untuk menyertai wakil negara menyertai kejohanan Olimpik untuk di bawah 23 tahun," katanya.
Skuad Harimau Malaya bagaimanapun, menempuh misi sukar untuk lolos ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 apabila tewas 0-4 kepada Jordan.
Selepas aksi menentang Jordan, pasukan kebangsaan akan bertemu dengan Bahrain pada 20 Jan dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007 tetapi tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.
Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com.
-- BERNAMA