KUALA LUMPUR: Lapan atlet negara yang berentap di Kejohanan Wushu Dunia 2023 yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat (AS) minggu lepas layak untuk membawa cabaran negara ke Piala Dunia Wushu 2024 di Jepun, November tahun depan.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata kelapan-lapan atlet berkenaan telah menepati kelayakan untuk beraksi di Piala Dunia itu selepas memperoleh kedudukan lapan terbaik dunia.

"Lapan atlet terbabit kini menghuni tangga lapan terbaik dunia, kriteria untuk beraksi di Piala Dunia tahun depan iaitu mereka perlu di kedudukan 10 terbaik dunia. Pencapaian mereka juga memberangsangkan baru-baru ini dan mencapai KPI," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan di MSN, di sini hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat emas tunggal dalam Kejohanan Dunia Wushu menerusi Wong Weng Son dalam acara Changquan lelaki dan antara yang akan mengikutinya ke Piala Dunia 2024 ialah Sydney Chin Sy Xuan, Clement Ting dan Loh Ying Ting.

Dalam pada itu, Kim Fatt berkata kelapan-lapan atlet itu juga akan disenaraikan sebagai wakil Malaysia dalam Sukan SEA 2025 di Thailand.

Kim Fatt berkata oleh itu, WFM telah membincangkan program bersesuaian untuk barisan lapan atlet terbabit dalam usaha memastikan mereka mampu merangkul pingat emas pada temasya terbabit sekali gus mempamerkan prestasi cemerlang pada masa akan datang.

"Kami mengumumkan perkara ini awal agar barisan atlet kami mudah untuk menyusun jadual mereka contohnya jadual belajar atau bercuti termasuk berlatih. Untuk ke Piala Dunia, yang layak sertai hanyalah 10 atlet terbaik dunia, dan semua atlet kita memang secara automatik telah layak," katanya.

Mengulas lanjut, Kim Fatt turut berkongsi mengenai perancangan WFM yang akan membuat pemilihan atlet untuk dimasukkan ke Program Pelapis yang akan dijalankan di Majlis Sukan Negara (MSN) pada sekitar Februari atau Mac tahun depan.

-- BERNAMA