MENTERI Belia dan Sukan mahu memperkemaskan struktur dalam barisan kepimpinan sukan menerusi pendekatan meletakkan orang yang betul dalam kedudukan yang betul.

Hannah Yeoh bagaimanapun memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa dalam organisasi dan persatuan sukan kerana pelantikan serta pemilihan mereka dibuat menerusi demokrasi dan proses tersebut perlu dihormati.

Namun Hannah menegaskan beliau mempunyai kuasa untuk melantik individu tertentu bagi menyertai agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Salah satu perkara utama yang saya ingin lakukan sebelum melengkapkan penggal saya sebagai menteri belia dan sukan ialah meletakkan orang yang betul dalam kedudukan yang betul.

"Sesetengah jawatan ini dipilih oleh ahli mereka. Misalnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Mereka yang dipilih oleh orang lain, saya tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan. Itu dilakukan melalui proses demokrasi dan kita mesti menghormatinya. Saya hanya boleh mengeluarkan mereka yang saya lantik," katanya menerusi catatan di Facebook pada Isnin.

Hannah menjelaskan dalam tempoh singkat sebagai menteri beliau telah melantik ramai bekas atlet utama untuk membantunya.

Ini kerana kata beliau, bekas atlet memahami sukan dan keperluan yang diperlukan oleh ahli sukan.

"Dalam jawatankuasa Road To Gold (RTG), seramai tiga bekas atlet membantu saya iaitu Datuk Lee Chong Wei (badminton), Nicol David (skuasy) dan Datuk Mirnawan Nawawi (hoki).

"Di Majlis Sukan Negara saya ada Olympian, Suriaghandi Suppiah dan Chong Wei. Di Institut Sukan Negara saya ada Datuk Marina Chin dan Nicol.

"Di YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) saya ada Farah Ann, Jeffrey Ong dan Soo Beng Kiang untuk membantu saya. Dalam Jawatankuasa Sukan Selamat, saya melantik Nurul Huda untuk mempengerusikannya," katanya.

Menurut Hannah, individu pakar dan berpengalaman dalam pengurusan juga memainkan peranan penting dalam pentadbiran sukan.

"Saya mendapat sokongan Datuk Seri Windsor John dari Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) yang berada dalam (PSM) Perbadanan Stadium Malaysia dan Datuk Stuart Ramalingam (Koordinator RTG)," katanya.

Beliau turut memuji Nicol yang merupakan timbalan ketua kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang melakukan kerja dengan cemerlang dan sangat meyakinkan.

"Saya berharap dia akan terus membantu saya dalam pembinaan negara melalui pembangunan sukan. Saya mahu memperkasakan atlet negara. Bekas atlet membantu atlet semasa dan akan datang kerana mereka tahu keperluan dan memahami atlet," ujarnya. - Sinar Harian