REAL BETIS 1 BARCELONA 2

Barcelona kini berkelebihan lapan mata di puncak LaLiga apabila Raphinha dan Robert Lewandowski menemui sasaran ketika menewaskan Real Betis 2-1 di Estadio Benito Villamarin awal pagi tadi.

Betis -- yang sedang berjuang merebot slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan -- kerap mengecewakan pendahulu liga itu sepanjang sejam permainan, di mana pasukan bimbingan Manuel Pellegrini berkenaan mempamerkan corak bertahan radikal sambil Pedri terlepas dua peluang berharga.

Bagaimanapun, Raphinha berhasil memecahkan kekebalan itu apabila menyudahkan umpanan gemilang Alejandro Balde pada minit ke-65 sebelum Lewandowski menggandakan kelebihan itu menerusi satu situasi sepakan penjuru pada minit ke-80.

Barca jelas belum selesa sehingga ke penghujung permainan, terutama apabila Jules Kounde terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-85 tetapi Blaugrana mengekalkan keputusan itu untuk terus memberikan tekanan buat pencabar terdekat, Real Madrid, yang akan bertemu Valencia di Santiago Bernabeu awal pagi esok.