KARIM BENZEMA menjaringkan hatrik dalam separuh masa pertama untuk memberikan inspirasi kemenangan 6-0 Real Madrid ke atas Real Valladolid dalam aksi LaLiga di Santiago Bernabeu semalam.

Peluang mempertahankan gelaran Los Blancos mungkin kelihatan terpadam dengan kelebihan 12 mata Barcelona mendahului di puncak liga, namun aksi cemerlang Benzema membantu mereka untuk tidak terus ketinggalan.

Real mempamerkan permulaan yang agak perlahan namun apabila berjaya memecah kebuntuan menerusi Rodrygo, mereka mula nampak cemerlang dan Benzema berjaya meledak tiga gol berturut-turut dalam tempoh tujuh minit bagi menamatkan aksi separuh masa pertama dengan penuh bergaya.

Skuad kendaian Carlo Ancelotti meneruskan rentak cemerlang dalam separuh masa kedua, Marco Asensio dan Lucas Vazquez turut bertindak selaku penjaring dalam memastikan tiga mata penuh. -- Stadium Astro