Kuartet 4x100 meter wanita negara berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara berkenaan pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand yang melabuhkan tirainya di Kompleks Sukan Universiti Thammasat, Pathum Thani, semalam.

Kuartet yang dianggotai Shereen Samson Vallabouy, Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 45.19 saat bagi memadam rekod terdahulu, 45.32 saat yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2016.

Catatan di Singapura itu dilakar oleh gandingan Siti Fatimah, S. Komalam, Zaidatul Husniah dan Nurul Faizah Asma Mazlan.

Ketua jurulatih olahraga, Zainal Abas yang dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

Kejayaan tersebut menyaksikan kontinjen negara berjaya meraih tiga pingat emas keseluruhan pada kejohanan yang berlangsung sejak Sabtu lepas.

Untuk rekod, Malaysia meraih dua pingat emas sebelum ini menerusi Khairul Hafiz Jantan dalam acara 100m lelaki dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru.

-- BERNAMA