PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak rela melihat skuad Bunga Raya 15-sebelah (15s) tersingkir daripada saingan Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC).


Ringkasan AI
  • KRM menetapkan sasaran sekurangkurangnya satu kemenangan dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) untuk kekal dalam Divisyen Premier.
  • KRM yakin dapat menewaskan Emiriah Arab Bersatu dan memberi saingan sengit kepada Korea Selatan serta Hong Kong.
  • KRM menerima penajaan RM50,000 daripada Enervive Sports untuk setahun, termasuk tajaan pakaian pengadil dan program pembangunan pengadil tempatan.


Presiden KRM Amir Amri Mohamad berkata pihaknya meletakkan sasaran untuk skuad ragbi kebangsaan mencapai sekurang-kurangnya satu kemenangan bagi saingan kali ini sekali gus mencerahkan peluang terus kekal dalam saingan divisyen premier kejohanan yang bakal bermula Sabtu ini.

Beliau optimis Malaysia mampu mengatasi pendatang baharu, Emiriah Arab Bersatu di Dubai pada aksi terakhir 21 Jun ini selepas pasukan dari Timur Tengah itu dinaikkan ke divisyen premier musim 2024 susulan kejayaan muncul juara divisyen satu, tahun lepas.

"Saya cukup yakin pasukan kebangsaan juga mampu beri saingan sengit dalam perlawanan pertama dengan cuba membuat kejutan menentang Korea Selatan pada aksi pembukaan di Incheon 1 Jun ini.

"Kita pula ada sedikit kelebihan menjadi tuan rumah menentang Hong Kong pada 8 Jun nanti, jadi saya harap skuad kebangsaan dapat beri persembahan terbaik dan sekurang-kurangya melakar keputusan di luar jangkaan," katanya.

Amir Amri berkata demikian pada sidang media majlis memeterai perjanjian penajaan dan kerjasama strategik antara KRM dan agensi sukan tempatan Enervive Sports di sini hari ini.

Pada edisi lepas, skuad negara dibelasah 3-27 oleh Korea Selatan dan 9-88 oleh juara bertahan Hong Kong dan mengakhiri saingan di tempat ketiga tanpa sebarang kemenangan.

Majlis hari ini menyaksikan KRM menerima penajaan oleh Enervive Sports menerusi jenama sukan EV berjumlah RM50,000 selama setahun merangkumi tajaan rasmi pakaian pengadil dalam kejohanan kebangsaan di samping program pembangunan pengadil tempatan.

Mengenai majlis hari ini, Amir Amri menyifatkan kerjasama tersebut penting dalam meningkatkan lagi mutu sukan ragbi dan memartabatkan pengadil tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports Shahrizin Shaharudin pula berkata kerjasama dengan KRM melambangkan komitmen mereka dalam mengangkat profesionalisme sukan ragbi secara menyeluruh.

-- BERNAMA