Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong melangkah ke suku akhir Kejohanan Terbuka China selepas menundukkan beregu tuan rumah Liu Xiaolong/Qiu Zihan pada pusingan kedua di Shanghai, China, malam Khamis.

Beregu negara, yang menduduki ranking keempat dunia, dengan mudah mengatasi beregu China itu dengan keputusan 21-8, 21-19 untuk berdepan dengan beregu Taiwan Chen Hung Ling/Lu Chia Bin pada suku akhir hari ini.

Terdahulu, beregu Taiwan itu menempah slot suku akhir selepas menjinakkan beregu negara Gan Teik Chai/Ong Soon Hock 21-4, 21-14.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor tiga negara Chong Wei Feng mengekalkan rentak kemenangan apabila mengalahkan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus 21-13, 21-19 untuk melangkah ke pusingan suku akhir.