MENJELANG minggu kelima Liga Super Malaysia, pemain Kuala Lumpur City (KL City) mengalami permasalahan rumit sebelum pertemuan penting menentang kelab gergasi Malaysia, Selangor, pada Ahad.

Terdahulu, tonggak kebangsaan, Paolo Josue mendakwa dia tidak menerima gaji selama tujuh bulan oleh kelab tersebut.

Menurut wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, juara Piala Malaysia 2021 itu bakal mendapat bayaran dua bulan gaji yang akan dilakukan pada minggu depan. 


Pengarah Kuala Lumpur United, Syed Yazid Syed Omar, bakal mengadakan pertemuan bersama seluruh pemain The City Boys untuk membincangkan mengenai isu yang semakin meruncing itu. 

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, bakal turut serta membantu pemain skuad warga kota itu menyelesaikan masalah tersebut. - Stadium Astro