Pengendali Kelantan, K. Devan menyifatkan kepulangan bekas penyerang Felda United, Indra Putra Mahayuddin akan mencetuskan kebangkitan pasukannya bagi saingan Liga Malaysia 2016.
Menurut Devan, dia mengharapkan pemain yang memiliki bakat dan pengalaman luas seperti Indra dapat memberi suntikan semangat kepada pemain-pemain Kelantan yang sedia ada."Bagi penyokong Kelantan, Indra bukan sahaja pemain kegemaran yang berkarisma tetapi dia juga mempunyai bakat dan ketajaman untuk menjaringkan gol," katanya kepada The Star.
Pada masa yang sama, Devan turut memuji keputusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengekalkan majoriti pemain sedia ada sebelum meningatkan para penyokong bahawa mereka masih memburu khidmat tiga pemain import bagi musim baru.
"Kami mahu menciptakan perasaan teruja buat para penyokong sekali lagi. Kami memiliki pemain tempatan yang mantap dan saya mengharapkan kehadiran Indra serta tiga lagi pemain import dapat menghidupkan semula cabaran Kelantan tahun ini," tambahnya.
Indra meledakkan 51 gol dalam 155 perlawanan liga dalam tempoh dua musim dan menjaringkan gol pemenang pada masa tambahan ketika Kelantan menewaskan ATM 3-2 untuk menjulang Piala Malaysia pada tahun 2012.
Walaupun Kelantan menyerlah dalam perjalanan ke final Piala FA tahun lepas, The Red Warriors tumbang di tangan LionsXII dan mengakhiri kempen Liga Super di tempat ke-9.