KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) membawa masuk tiga lagi pemain import bagi melengkapkan skuad Liga Supernya dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Presiden KDNFC Rozi Muhamad berkata tiga pemain import berkenaan ialah Chadrack Lukombe Muzungu dari Congo, David Ribera Viana dari Bolivia dan Valdumar Augusto Te dari Guinea.

Beliau berkata ketiga-tiga pemain itu telah menandatangani kontrak selama semusim hari ini sekali gus menyaksikan pasukan Sang Kijang Emas kini telah lengkap 100 peratus.

"Ketiga-tiga pemain ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan negara masing-masing dan kehadiran mereka melengkapkan senarai sembilan pemain import bagi memperkuatkan KDNFC musim ini.

"Kita mengharapkan kemasukan kesemua pemain import ini akan memberi kesan bagi membantu pasukan menghadapi saingan musim ini yang lebih mencabar," katanya dalam kenyataan.

Menurut Rozi ketua jurulatih bagi membimbing pasukan tersebut juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata KDNFC telah mengatur beberapa perlawanan persahabatan bermula 17 April ini menentang Pattani FC, disusuli dengan pasukan Liga Super dan satu lagi aksi persahabatan antarabangsa melawan kelab dari Indonesia.

-- BERNAMA