KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KNDFC) menurunkan harga tiket bagi perlawanan pertama pada Liga Super 2024/25 menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV yang akan berlangsung Jumaat ini.

Presidennya, Rozi Muhamad berkata harga tiket pada perlawanan berkenaan dijual lebih murah bersempena perlawanan pertama di negeri sendiri bagi musim ini.

Beliau berkata KDNFC telah bersetuju untuk melakukan pemotongan harga tiket sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu semua pihak kepada pasukan yang dijenamakan semula pada musim ini.

"Tiket tempat duduk terbuka akan dijual pada harga diskaun RM10 berbanding harga asal iaitu RM15, manakala tiket duduk astaka dikekalkan pada harga RM25," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozi berkata pihak pengurusan sangat teruja melihat sokongan padu rakyat Kelantan kepada KDNFC menjadi faktor menurunkan harga tiket bertemu Sabah pada Jumaat ini.

"Pada perlawanan pertama kita bertemu Sri Pahang FC di tempat lawan, ramai penyokong hadir ke stadium dan ia menunjukkan sokongan padu penyokong dan peminat bola sepak Kelantan kepada KDNFC.

"Perlawanan pada Jumaat ini, kita mahu penyokong membanjiri tempat duduk stadium bagi memastikan tiga mata milik KDNFC," katanya.

Beliau berkata KDNFC berharap penyokong dan peminat bola sepak di negeri itu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain untuk berjuang memburu tiga mata penuh menentang skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu nanti.

"Jualan tiket perlawanan akan dibuka seawal hari Khamis di Kedai Merchandise KDNFC di Stadium Sultan Muhammad IV bermula dari 12 tengah hari sehingga 10.30 malam," katanya.

Menurutnya, jualan akan bersambung pada hari perlawanan iaitu pada Jumaat 17 Mei 2024 bermula dari 9 pagi hingga 9.30 malam di kaunter tiket di dataran Stadium Sultan Muhammad IV.



-- BERNAMA