Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata antara pengisian yang dilaksanakan adalah berbuka puasa, solat sunat tarawih yang akan diimamkan oleh imam dari Mesir iaitu Syeikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh serta Syeikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed dan sebagainya dengan peruntukan RM1.8 juta.
"Pada tahun ini, Madinah Ramadan yang dilaksanakan bertemakan 'Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam' dengan berkonsepkan muzium yang membabitkan sejarah negeri ini akan dipamerkan kepada pengunjung. Malah, pekarangan stadium ini mampu menempatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
"Setakat ini, kemajuan untuk menyediakan Madinah Ramadan telah mencapai 70 peratus termasuk kesediaan tapak, pemasangan khemah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di tapak Madinah Ramadan di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan berlakunya lambakan sampah pada bulan Ramadan, Hilmi berkata unit pengurusan sampah negeri akan bekerja lebih masa dalam usaha untuk menjaga kebersihan di kawasan terlibat.
"Kita harap peniaga bazar sentiasa menjaga kebersihan sekitar gerai dan tidak memanaskan semula makanan yang dijual bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini," katanya.
-- BERNAMA
