JURGEN Klopp berharap tuah menyebelahi Liverpool pada musim depan berkaitan isu kecederaan dan percaya kekuatan penuh akan memastikan mereka lebih dekat mencabar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, yang di kemuncak prestasi.

Juara bertahan itu mendahului City -- yang menamatkan saingan di tempat kedua -- dengan 18 mata pada musim 2019-20 untuk mengakhiri penantian 30 tahun ditabalkan sebagai juara.

Namun, pada musim ini mereka terpaksa berhempas-pulas untuk mempertahankan gelaran apabila skuad bimbingan Pep Guardiola itu sekali lagi menjadi pasukan yang harus dikalahkan.

Mereka mencipta rekod baru liga menerusi kemenangan 3-1 di Everton, Khamis lalu, sekali gus memulakan tahun ini dengan 10 kemenangan berturut-turut.

Tumpuan The Reds beralih untuk menjamin tempat dalam kelompok empat terbaik -- tuan rumah menghuni tangga kelima menjelang pertemuan 'derby Merseyside' awal pagi ini dengan 16 mata di belakang The Cityzens -- tetapi Klopp berasakan jurang besar seperti itu tidak akan ada sekiranya dia memiliki barisan pemain handalannya.

Virgil van Dijk dan Joe Gomez antara yang terpaksa berehat lama sambil rakan pertahanan, Joel Matip, tidak akan beraksi lagi untuk musim ini.

Sementara itu, Diogo Jota, tidak tampil sejak 9 Disember manakala Naby Keita semakin cergas dan belum lagi tampil pada tahun ini.

Ketika ditanya dalam sidang media pra-perlawanan tentang elemen yang diperlukannya untuk merapati City musim depan, Klopp menjawab: "Kami tidak perlu memikirkannya sekarang.


"Kami tidak lagi mampu menyaingi mereka pada musim ini -- mungkin tidak lagi, mungkin dalam Liga Juara-Juara (UCL) (ada peluang). Untuk (kempen) tahun depan, kami akan mempunyai sedikit masa (untuk menyusun pasukan).

"Kami langsung tidak pernah terlintas tentang, 'Bagaimana kami mahu mengatasi City dan menjadi pasukan terbaik dalam bola sepak Inggeris?'. Kami tidak pernah melihat ia seperti itu kerana kami hanya mahukan versi terbaik menerusi kemampuan sendiri.

"Kami akan mempunyai peluang itu lagi. Jika ia cukup bagus maka itu sudah cukup bagus. Sekiranya ada pasukan lain yabg lebih baik, itulah cara sukan berfungsi. Anda tidak mungkin melakukan lebih daripada sekadar menjadi versi yang terbaik kepada anda sendiri.



"Itulah yang kami cuba lakukan sebagai pasukan khususnya. Kami memerlukan sedikit tuah dan beberapa aspek lain juga.

"Tetapi di peringkat awal, ia lebih banyak bergantung kepada nasib kecederaan. Barulah kami boleh merapati mereka.

"Saya rasa kita semua akan setuju jika saya katakan, mungkin Pep juga akan mengatakannya, bahawa apabila musim ini berakhir, kedua-dua pasukan tidak lagi akan memiliki kelebihan 16 mata. Tetapi pada saya, begitulah, saya akur.

"Bagaimanapun, musim ini bukan tentang seberapa dekat kami berpeluang mencabar Manchester City."