Walaupun tiba di negara ini dalam tempoh singkat, pandangan bekas pengurus kelab Sunderland di Liga Bola Sepak Inggeris (BPL), Gus Poyet juga boleh dijadikan panduan.
Beliau yang tiba di Malaysia untuk memenuhi undangan sebagai 'pundit' bagi saluran sukan di Astro, turut berkesempatan mengikuti perkembangan bola sepak tempatan yang membawa kepada pengunduran Dollah Salleh.
Apabila diajukan mengenai calon yang lebih sesuai untuk mengisi kekosongan kerusi panas di FAM itu, beliau berkata, "Ini sentiasa sukar. Kelebihan buat jurulatih tempatan, beliau sudah mengenali yang sedia ada.
"Tapi kalau anda ambil jurulatih import yang sudah beberapa tahun di sini, taktikal sama sahaja tapi pengetahuan lebih luas."
FAM perlu tegas
Menurut beliau, FAM sepatutnya memiliki kredibiliti untuk memilih calon mereka sendiri dan tidak bergantung kepada pihak ketiga.
"Ia perlu pilihan seimbang antara jurulatih tempatan dan import. Yang penting persatuan badan induk yakin mereka telah membuat keputusan yang tepat.
"Mereka tidak seharusnya mendengar pandangan daripada sesiapa seperti peminat dan media. Mereka yang bertanggungjawab untuk melantik tidak terpengaruh dengan faktor luar.
"Mereka yang menerajui sama ada keputusan itu baik atau buruk, jadi mereka yang akan bertanggungjawab.
"Anda perlu tahu apa yang anda inginkan. Sama ada anda melantik jurulatih yang memiliki pengalaman 30 tahun, atau jurulatih muda yang bertenaga."
Tindakan drastik kembalikan maruah
Jurulatih kebangsaan bukan seperti di kelab, yang anda boleh ubah gaya permainan mereka dalam rutin latihan. Maka disinilah betapa peranan seorang jurulatih negara amat penting.
"Bagi mengembalikan semula maruah negara, anda perlu yakinkan pemain yang dipilih faham apa yang anda kehendaki sama ada permainan menyerang atau bertahan.
"Anda mempunyai masa yang singkat untuk mempersiapkan pasukan, anda perlu terangkan dengan ringkas dan mudah.
"Jurulatih perlu sedar tentang perkembangan terkini pemain, bukannya prestasi tiga tahun lepas. Bola sepak cepat berubah.
"Anda perlukan kumpulan pemain yang sangat bagus. Walaupun anda mempunyai senarai lebih daripada 20 pemain, tetapi 15 daripadanya adalah pemain teras anda.
"Mereka yang akan bermain kerap. Kalau anda mahukan pasukan yang lebih baik anda perlukan kumpulan pemain yang besar."