Selaku naib juara, mereka membawa pulang habuan AS$100,000 (RM445,062) selepas bertarung tiga set dengan 21-17, 17-21, 21-11.
Sekali lagi, Izzuddin-Sze Fei gagal melunaskan dendam ke atas lawan di ranking ketiga dunia berkenaan selepas tewas dalam aksi tiga set semasa aksi Kumpulan A, Rabu lalu.
Izzuddin-Sze Fei yang menduduki tangga ketujuh dunia mencipta sejarah sebagai beregu lelaki pertama negara mara ke final sejak Jelajah Dunia Akhir BWF diperkenalkan pada 2018 bagi menggantikan Siri Super Final BWF.
Mereka sebelum ini merekodkan tiga gelaran juara dalam saingan Jelajah Dunia selepas menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.
Izzuddin-Sze Fei sudah mengumpul hadiah wang kemenangan sebanyak AS$258,858 (RM1.15 juta) daripada lapan kejohanan sejak empat bulan lalu.
Ini termasuk AS$148,000 (RM658,630) hasil kejayaan menjuarai Terbuka China yang menjadi hadiah terbesar mereka setakat ini.
Walaupun hampir berpeluang untuk menambah pendapatan mereka musim ini dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.08 juta, kemenangan naib juara ini tetap memberikan pendapatan keseluruhan yang lumayan sekitar RM1.59 juta.
Terdahulu, Izzuddin-Sze Fei melangkah ke final selepas menyingkirkan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-16, 27-25 pada aksi separuh akhir.