Sekalipun pulang tanpa kejuaraan di dada, prestasi pasangan itu mencipta fenomena, hingga kini sudah memintas Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku beregu lelaki nombor satu negara.
Kejutan istimewa bakal menanti isteri tercinta -- itulah hasrat yang diluahkan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin selepas muncul sebagai naib juara beregu lelaki final Jelajah Dunia BWF dan meraih hadiah kemenangan berjumlah RM445,000.
Meskipun tidak berjaya membawa pulang gelaran juara namun dia mengakui kejayaan mara ke pentas final semestinya terpahat sebagai prestasi paling cemerlang sepanjang karier.
"Alhamdulillah, ini merupakan prestasi terbaik kami. Cuma kurang berpuas hati dengan persembahan di final. Lawan mempamerkan aksi yang cemerlang dan berpengalaman," katanya.
Kejayaan terbaik penutup tirai 2024 menjadi petanda positif kepada masa depan beregu negara itu untuk konsisten mencetak lebih banyak rekod unggul dalam arena sukan badminton negara.
Gandingan Sze Fei-Izzuddin mengumpul hadiah wang kemenangan berjumlah sebanyak RM1.15 juta ringgit, hasil daripada lapan kejohanan sejak empat bulan lalu.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com