Penyokong dan media diminta supaya tidak terburu-buru mengkritik Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya kerana kekalahan Malaysia 1-2 kepada Lubnan, baru-baru ini.

Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi berkata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu baru memulakan tugas 84 hari lepas dan adalah tidak adil untuk pelbagai pihak melontarkan kritikan secara peribadi terhadap baginda.

“Kekalahan itu menjadi bahan bualan di sesetengah akhbar dan media sosial seolah-olah presiden yang bersalah. Saya risau jika perkara ini diperbesar-besarkan, baginda akan angkat kaki.

“Kita perlu memberi sokongan di atas usaha dan pembaharuan yang dilakukan oleh TMJ. Baginda tidak memerlukan FAM, tetapi FAM dan penyokong sangat memerlukan baginda.

“Kita pernah mengalami situasi sukar apabila presiden sebelum ini melepaskan jawatan sebelum penggal berakhir, kita tak nak perkara ini berulang. Jika ada pemimpin baru pun, tidak pasti beliau boleh membawa kemenangan dalam semua perlawanan selepas ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan itu, merupakan perlawanan pertama skuad Harimau Malaya, selepas TMJ mengambil alih pucuk kepimpinan FAM pada Mac lalu.

Sementara itu, Yusoff yang juga pengurus pasukan Bawah 22 (B-22) negara, berkata ketua jurulatih skuad itu, Datuk Ong Kim Swee akan mengenal pasti 25 pemain selepas aksi persahabatan menentang Melaka United pada Khamis ini, untuk persediaan kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, pada Julai dan Sukan SEA ke-29, Ogos ini.

“Selepas 25 pemain dikenal pasti, kita akan menghantar surat panggilan kepada semua persatuan yang terlibat untuk mereka melepaskan pemain masing-masing. Sekiranya ada masalah, kita akan bincang dengan mereka dan mencari penyelesaian terbaik.

“Kita mahu situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak untuk mencari jalan terbaik... Kalau tidak boleh capai persetujuan, keutamaan nasional akan diberi perhatian,” katanya.

Prestasi pasukan itu sepanjang tiga aksi persahabatan di China yang menyaksikan kekalahan 0-1 menentang skuad B-22 China, seri 2-2 berdepan skuad Guangzhou R & F dan kemenangan 3-1 ke atas pasukan simpanan Guangzhou Evergrande baru-baru ini memuaskan kita,” katanya.

-- BERNAMA