Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya diletakkan di bawah persatuan itu, titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, sekiranya menjadi Presiden FAM, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah menjadikan jawatankuasa itu sebagai satu badan bebas.

Katanya, jawatankuasa itu boleh bergerak bebas dan berfungsi tanpa bergantung kepada FAM sekiranya ia dibiayai kerajaan sepenuhnya.


“Jika saya menjadi Presiden FAM, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah mewujudkan satu badan pengadil bebas. Ini kerana, pengadil tidak boleh bekerja dengan FAM," katanya.

"Bagi saya, pengadil perlu menjadi satu badan bebas yang dibayar lumayan oleh kerajaan supaya mereka boleh berfungsi sendiri, tidak berada di bawah FAM," tambahnya.

Beliau menjelaskan, buat waktu ini, setiausaha agung jawatankuasa itu dari Selangor, sementara presidennya dari Pahang manakala salah seorang naib presidennya dari Kelantan, dan pengadil bekerja di FAM.

"Apa jadi kalau salah seorang daripada mereka kata, eh, kamu tahu apa yang perlu dilakukan ya, esok kita main di Pahang, atau Kelantan, atau Johor, katakan,” beliau membuat andaian.

Bagaimanapun, tegas Tunku Ismail, beliau tidak berminat untuk mengambil alih jawatan presiden FAM kerana sudah memiliki JDT (Johor Darul Ta'zim), iaitu pasukan bolasepak yang mendapat tajaan kerabat diraja Johor.

Bagi beliau, jawatan Presiden FAM sendiri tidak sepatutnya disandang golongan keluarga diraja, atau mereka yang mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mengambil bahagian.

Beliau berkata demikian dalam episod kedua temubual eksklusif rancangan bual bicara Obviously Harith Iskandar di Astro AWANI pada Sabtu.