KUALA LUMPUR: Pelumba negara Zulhelmi Zainal mempunyai peluang terbaik untuk mengembangkan kariernya dalam sukan berbasikal apabila menyarung jersi pasukan benua dari Indonesia, Nusantara Pro Cycling Team pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada 29 Sept hingga 6 Okt depan.

"Ia umpama mimpi jadi kenyataan. Sejak tamat LTdL tahun lepas, saya berazam untuk mewakili pasukan benua dan tahun ini saya berjaya sertai Nusantara dengan kontrak setahun. Ini peluang terbaik saya mengembangkan karier dalam arena lumba berbasikal lebuh raya.

"LTdL 2024 akan menjadi pentas terbaik saya untuk mempamerkan kemampuan diri. Saya tidak sabar untuk berlumba," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Pelumba berusia 24 tahun yang mewakili skuad berbasikal kebangsaan pada edisi lepas itu, mencipta impak besar apabila muncul pelumba terbaik Asia pada peringkat keempat dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya, Ipoh, Perak.

"Sasaran saya adalah berada dalam kelompok terbaik, terutamanya pada peringkat perlumbaan di laluan landai atau memperbaiki pencapaian tahun lepas," katanya.

LTdL 2024 membabitkan lapan peringkat perlumbaan dan Langkawi kembali tersenarai pada edisi ke-28 perlumbaan kali ini selain dua peringkat melibatkan Miri dan Bintulu di Sarawak.

Saingan peringkat pertama bermula di Langkawi diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (peringkat ketiga), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat keempat), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat kelima), Batu Pahat ke Kulai (peringkat keenam), Miri ke Bintulu (peringkat ketujuh) dan Bintulu (peringkat kelapan).

-- BERNAMA