KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akan menentang Laos di Bangkok, Thailand pada 14 Nov ini sebelum terus terbang ke India bagi perlawanan persahabatan menentang negara tersebut dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pasukan kendalian Pau Marti Vicente akan menghadapi perlawanan pertama menentang Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT) di Bangkok pada 14 Nov sebelum menentang India pada 19 Nov ini.

"Laos bertindak sebagai tuan rumah kerana Stadium Nasional Lao KM16 di Vientiane, Laos, digunakan untuk perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 antara Korea Utara menentang Iran pada tarikh berkenaan," menurut kenyataan tersebut.

FAM memaklumkan Laos memilih Bangkok sebagai venue perlawanan bertemu Malaysia disebabkan mereka selepas itu akan menentang Thailand, juga di Bangkok untuk perlawanan kedua pada 17 Nov ini.

Bagaimanapun, badan induk sukan itu memaklumkan venue perlawanan menentang India akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia kini menghungi tangga ke-133 manakala India dan Laos mesing-masing berada di kedudukan ke-125 dan 187.

Kali terakhir Malaysia bertemu Laos ialah pada Piala AFF 2022 dengan kemenangan 5-0 di peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dan menewaskan India 4-2 pada saingan Pestabola Merdeka 2023.

Kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa ini merupakan tonik terbaik buat Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024 bermula Disember ini bersama juara bertahan Thailand serta Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.

-- BERNAMA