GEORGE TOWN: Jaringan masa kecederaan Moses Atede memastikan Kedah Darul Aman (KDA) FC berjaya mencuri tiga mata penuh apabila menewaskan Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.

Skuad Sang Kenari yang bermula agresif dengan menguji kubu pasukan tuan rumah, berjaya mendahului seawal minit ketujuh menerusi jaringan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam.

Tersentak jaringan itu, skuad Harimau Kumbang menggandakan usaha dengan terus melakukan percubaan ke arah gawang KDA, yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila penyerang import dari Lubnan, Soony Saad berjaya menemui sasaran untuk menceriakan hampir 3,000 penyokong di stadium.

Penang FC kemudian menjaringkan gol kedua hasil tandukan Rafael Vitor pada minit ke-67, namun ia dibatalkan pengadil S. Logeswaran selepas mendapati Vitor menarik dan mengganggu pemain lawan, Bojan Ciger ketika membuat tandukan itu.

Skuad tuan rumah terus dilanda malang, apabila Muhammad Adib Abdul Ra'op dibuang padang pada minit ke-76 susulan menerima kad kuning kedua apabila mengasari Manuel Hidalgo.

KDA, bagaimanapun, berjaya mengesahkan kemenangan apabila pemain tengah dari Nigeria, Atede, yang baru dibeli pada jendela perpindahan kedua bulan lalu, menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan (90+5).

Kemenangan itu menyaksikan KDA, yang berada di tempat ketiga dengan 43 mata selepas 20 perlawanan, merapatkan jurang dengan pasukan di tangga kedua, Selangor FC yang kelebihan tiga mata selepas 21 perlawanan.

Penang FC kekal di tangga ke-10 dengan 19 mata selepas 20 perlawanan.

-- BERNAMA