KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional Goh Jin Wei enggan tunduk kepada tekanan meskipun diletakkan selaku sandaran utama kem badminton wanita negara ke Sukan Komanwel di Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Pemain berusia 22 tahun itu menyifatkan pemilihannya oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai sesuatu yang mengejutkan selepas sekian lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

"Saya terkejut dan tidak sangka, tak fikir banyak tentang itu dan saya akan membuat persiapan terbaik serta berharap dapat beri sumbangan kepada negara.

"Saya fikir ...saya cukup bersedia kerana kita memerlukan semangat yang kuat untuk beraksi secara bersungguh-sungguh," katanya kepada Bernama.

Meskipun tidak meletakkan sasaran besar, Jin Wei menegaskan perjuangannya dalam membantu kontinjen Malaysia tetap menjadi keutamaan bagi mencapai keputusan memberangsangkan di Birmingham nanti.

Di atas kertas, barisan pemain yang bakal memberikan tentangan kepada Jin Wei di temasya itu termasuk pemain ranking ketujuh dunia dari India PV Sindhu dan pemain ranking ke-12 dunia dari Kanada, Michelle Li.

"Tidak boleh la senang sangat untuk tewas atau apa pun. Sama ada saya pernah bertemu dengan mereka atau kalah di tangan mereka, kita tidak tahu kali ini," katanya.

Jin Wei, yang akan membuat penampilan sulung pada temasya itu, bertekad mengembalikan kecemerlangan sama seperti dipamerkan ketika berjaya meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Belia (YOG) Buenos Aires, Argentina 2018.

-- BERNAMA