KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama negara, Soh Wooi Yik optimis gandingan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mampu bertahan lebih lama selepas merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023 di Lucknow, India, Ahad lepas.

Wooi Yik menyifatkan pencapaian dilakar pasangan ke-69 dunia berkenaan dalam kejohanan di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das merupakan permulaan baik bagi mereka untuk kekal bersama selepas masing-masing sering bertukar pasangan sebelum ini.

"Ini adalah peluang bagi mereka untuk membuktikannya dan diharap mereka dapat berada dalam kelompok 30 teratas dan belajar lagi. Memandangkan mereka sudah bergelar juara, saya percaya jurulatih akan lebih fokus kepada mereka.

"Memandangkan mereka pasangan baharu, bukan senang untuk menang kejuaraan, saya rasa mereka ada potensi," katanya selepas sesi latihan, di sini.

Gandingan Hon Jian-Muhammad Haikal yang bukan pilihan bangkit dari ketinggalan pada set pertama dengan mengejutkan pilihan utama dari Jepun Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-18, 21-16, untuk muncul juara kejohanan bertaraf Super 300.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, beliau dan pasangannya, Aaron Chia akan memastikan setiap perlawanan ditempuhi pada peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Dis ini ibarat aksi final.

Beliau juga menaruh harapan agar mereka dapat menghapuskan badi terkandas di peringkat kumpulan dan seterusnya mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama pada penampilan keempat mereka di Jelajah Dunia Akhir 2023.

Pasangan nombor tiga dunia itu sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2019, 2020 dan 2022.

Tujuh lagi pasangan yang layak pada edisi 2023 adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Mengikut format pertandingan, kesemua lapan pasangan akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Hanya dua gandingan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Majlis undian peringkat kumpulan dijadual berlangsung Isnin ini.

Kejohanan tersebut menawarkan wang hadiah terkumpul sebanyak US$2.5 juta kepada para pemenang.
- BERNAMA