JDT, juara bertahan yang melangkah ke final buat kali ketiga berturut-turut, mungkin menjadi 'favorites' bagi ramai peminat bola sepak selepas menewaskan Kedah dengan agregat meyakinkan 5-1 di separuh akhir.
Kualiti dan konsistensi yang dipamerkan skuad Harimau Selatan itu membawanya selangkah lagi untuk mencipta rekod hatrik menjuarai Piala FA, jika berjaya memenangi perlawanan malam ini.
Walaubagaimanapun, legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata itu tidak bermakna keupayaan Gergasi Merah untuk menambah satu lagi trofi ke dalam koleksi mereka, boleh dipandang enteng.
"Sebagai seorang yang berpengalaman, di atas kertas memang kita dapat lihat kelebihan pada JDT, itu saya tidak dapat nafikan dengan pemain-pemain yang mereka ada," katanya dalam satu temu bual bersama ERA pada Jumaat.
"Tapi dalam final kadang kala tikus juga kalahkan gajah, kerana ia atas pemain, kerana itulah ia dipanggil pentas akhir," katanya.
Zainal berkata, beliau sendiri pernah merasai pengalaman di mana semangat pemain di atas padang jauh menjangkaui statistik di atas kertas.
Faktor sikap dan semangat ini turut diketengahkan oleh pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil menuju ke final kali ini.
"Sikap yang membawa kita ke final, sebab kita tak lalui Piala FA dengan perjalanan yang lancar, ada kalah dan menang, kemunculan semula dua tiga kali, ia satu kisah yang menarik untuk diceritakan suatu hari nanti," katanya dalam sidang media praperlawanan pada Jumaat.
Beliau bagaimanapun mengakui pasukannya memasuki perlawanan kali ini sebagai 'underdog'.
"Untuk banding kedua-dua pasukan ini, JDT pasukan yang ada kejayaan besar selama 10 tahun, dan Selangor kita mengakui pasukan yang mengejar impian dan kedudukan lebih baik untuk pengiktirafan. Kita sangat positif, kita akan lalui dengan senyuman dan perasaan gembira," katanya.
Selangor mungkin mempunyai beberapa kejutan yang boleh diturunkan, termasuk pemain sayapnya, Muhammad Faisal Abdul Halim yang layak bermain malam ini.
Faisal atau lebih mesra dipanggil 'Mickey' kembali ke padang pada 10 Ogos lalu, selepas lima bulan berehat akibat serangan asid terhadapnya pada 5 Mei lepas mengejutkan dunia sukan tanah air.
Di kem JDT pula, keyakinan tampak tinggi bagi skuad kendalian Hector Bidoglio, dengan persediaan skuad Harimau Selatan mungkin melangkaui persiapan di atas padang.
Sidang media yang diberikan oleh penolong jurulatih, Jose Lopez dan pemain pertahanannya, Junior Eldstal pada Jumaat dianggap ramai sebagai satu perang psikologi yang dimainkan menjelang final malam ini.
Lopez dan Eldstal enggan memberikan sebarang komen di sidang media tersebut, meskipun dilontarkan beberapa soalan oleh wartawan yang hadir.
Soalan yang ditujukan kepada mereka, termasuk mengenai persiapan pasukan dan kecederaan dalam kalangan pemain, hanya dijawab dengan "Saya tidak tahu" atau "Saya tiada komen" dalam sidang media yang berlangsung hanya kira-kira dua minit.
Apa pun, keterujaan menjelang final malam ini begitu tinggi, sehingga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah menempatkan kira-kira 2,400 anggota di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa turut mengingatkan peminat dan penonton yang dijangka mencecah 85,000 orang itu supaya menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan kekecohan.
Katanya, pemeriksaan akan dilakukan sebelum dan selepas memasuki stadium, dengan barang yang dilarang dibawa masuk termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, dan pemetik api.
Dalam dunia bola sepak, kisah-kisah keajaiban dan keberanian sering kali menjadi inspirasi.
Dari pemain yang bangkit semula selepas kecederaan sehingga pasukan yang mendominasi dan mengetepikan semua seteru, bola sepak adalah sukan di mana segalanya mungkin.
Adakah Harimau Selatan mampu membuktikan dominasinya dalam bola sepak tanah air malam ini, atau adakah percubaannya untuk mencipta rekod baharu bakal digagalkan oleh skuad Gergasi Merah?
Pastikan anda mengikuti aksi final Piala FA di antara JDT dan Selangor FC, jam 8 malam ini di saluran Astro Arena 801 atau Arena Bola 803.