KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempergiat kerjasama bola sepak dan mengeratkan hubungan dua negara.

Kerjasama itu meliputi enam bidang iaitu pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, bola sepak wanita, perlawanan persahabatan dan kem untuk pasukan kebangsaan belia, struktur dan operasi perlawanan belia serta pembangunan futsal.

FAM menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya malam ini memaklumkan MoU berkenaan ditandatangani antara Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden QFA Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman dan Setiausaha Agung QFA Mansour al-Ansari.

"MoU selama setahun ini bakal diperbaharui secara automatik setiap setahun dengan tempoh perjanjian tidak lebih lima tahun," menurut kenyataan itu.

Hamidin menerusi kenyataan sama berkata FAM dan QFA bersetuju bekerjasama dalam membina hubungan yang erat antara persatuan masing-masing selain mempromosi, pertumbuhan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.

"Ini juga bagi melindungi nilai dan tradisi sukan ini memandangkan bola sepak bukan sahaja untuk aktiviti ekonomi tetapi ia juga instrumen sosial dalam persefahaman antarabangsa," katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan, skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara telah menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar dan enam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebagai persediaan untuk mengharungi aksi Piala Asia B-17 2023 yang bakal berlangsung di Thailand, bulan depan.

"Akademi Aspire ini sememangnya mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita," katanya.

-- BERNAMA