SELANGOR FC berjaya mengekalkan khidmat pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim bersama kelab itu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu dimaklumkan Selangor FC di laman Facebook mereka sekali gus menamatkan segala teka-teki mengenai penghijrahan pemain berusia 26 tahun itu ke kelab lain.

"Faisal Halim akan terus bersama skuad Gergasi Merah untuk musim 2024/2025!.

Beliau telah menjaringkan 13 gol dan mencatatkan 11 bantuan gol dalam 28 penampilan musim sulungnya.

"Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, mengakhiri musim sebagai penjaring tempatan terbanyak Liga Super 2023.

"Baru-baru ini, beliau telah menjaringkan gol pertama Malaysia dalam Piala Asia menentang Korea Selatan yang juga merupakan gol pertama beliau dalam kejohanan tersebut," kata Selangor FC.

Sebelum ini, masa depan Faisal menjadi spekulasi dan dikaitkan untuk berpindah daripada kelab gergasi Lembah Klang itu.

Namun, keputusan untuk kekal bersama Selangor sememangnya melegakan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe dan penyokong apatah lagi mereka memerlukan pemain seperti Faisal untuk mengharungi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). - Sinar Harian