MAX VERSTAPPEN semakin hampir untuk mempertahankan gelaran juara dunia Formula 1 (F1) selepas menjuarai Grand Prix Itali malam tadi.

Pelumba Belanda itu, yang memulakan perlumbaan di petak ketujuh selepas dikenakan penalti lima petak, menamatkan perlumbaan di depan pemandu terpantas pusingan kelayakan, Charles Leclerc, dan pelumba Mercedes, George Russel.

Perlumbaan itu berakhir dengan kontroversi apabila pemandu McLaren, Daniel Ricciardo, mengalami masalah jentera berbaki enam pusingan terakhir sehingga kereta keselamatan terpaksa dibawa masuk.

Jentera McLaren itu tidak dapat dikeluarkan dari litar sebelum perlumbaan itu dimulakan semula, sekali gus memaksa perlumbaan itu ditamatkan di belakang kereta keselamatan.


Ia merupakan kali pertama Verstappen memanjat podium di Litar Monza dengan yang terbaik pernah dilakukannya sebelum ini adalah sewaktu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada 2018 sebelum dikenakan penalti ke tempat kelima kerana menyebabkan Valtteri Bottas kemalangan.

Kemenangan itu turut melebarkan kelebihannya ke atas Leclerc kepada 116 mata dalam carta keseluruhan kategori pemandu berbaki hanya enam perlumbaan.