Pelumba Marussia, Max Chilton yakin pasukannya mampu memberi aksi lebih baik menjelang perlumbaan Formula One GP Malaysia minggu ini.

Dia bagaimanapun akur faktor cuaca bakal memainkan peranan buat para pelumba dalam usaha memburu keputusan positif.

"Ia adalah litar yang sangat mencabar. Anda perlu lalui sudut pada kelajuan tinggi serta beberapa perkara teknikal untuk keluar dari sudut ke jalan yang lurus... itu sangat penting.

“Jelassekali perkara utama di litar ini ialah haba (panas). Perlumbaan tahun lepas sukar tetapi tahun ini tidaklah sepanas tahun lepas, jadi saya tidak perlu bimbang tentang itu dan hanya perlu beri tumpuan kepada persaingan," kata Chilton.

Chilton merupakan antara lima pelumba rookie yang menyertai saingan F1 musim ini.

Tumpuan bagaimanapun pastinya terarah kepada Red Bull biarpun mereka gagal memenangi perlumbaan di Australia pada Ahad lepas.

Sementara Lotus, Mercedes dan Ferrari membuktikan mereka mampu bersaing dengan Red Bull di Albert Park.

Pelumba Ferrari, Fernando Alonso pula mempunyai rekod baik di Sepang dengan tiga kali kemenangan di mana yang terbaru diraih tahun lalu.