Satu sindiket jenayah terancang berpangkalan di Singapura didapati menjadi dalang mengaturkan keputusan perlawanan bola sepak rantau Eropah.

Lebih 380 perlawanan membabitkan saingan kelayakan Piala Dunia dan Euro serta beberapa aksi liga juara-juara disyaki telah diatur keputusannya.

Pendedahan itu dibuat Ketua Organisasi Polis Kesatuan Eropah (Europol) Rob Wainright pada Isnin.

Beliau menjelaskan siasatan menyeluruh telah membongkar kegiatan mengatur perlawanan berskala besar.

Keuntungan lebih AS$10.9 juta (RM 33.8 juta) diperoleh menerusi wang pertaruhan serta AS$2.7 juta (RM8.4 juta) dalam bentuk rasuah kepada pemain dan pegawai.

Europol bagaimanapun tidak mendedahkan identiti suspek yang terlibat kerana siasatan masih belum selesai.

Wainwright turut menambah satu usaha bersepadu perlu dilakukan bagi membanteras masalah rasuah dan korupsi dalam bola sepak.