CRYSTAL PALACE 1 MANCHESTER UNITED 1

Michael Olise menghasilkan gol sepakan percuma gemilang dalam waktu kecederaan untuk Crystal Palace menamatkan rentetan sembilan perlawanan berturut-turut Manchester United dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi tadi.

United pada awalnya kelihatan akan memintas Manchester City di kedudukan kedua liga selepas Bruno Fernandes membuka jaringan dalam babak pertama tetapi menerima padah apabila Palace berhasil melakukan kebangkitan pada minit-minit terakhir.

United terlebih dahulu menghela nafas lega apabila percubaan Palace menerusi Odsonne Edouard terkena palang gol pada minit ke-40.

Mereka kemudian memperoleh gol pendahuluan berselang tiga minit apabila Fernandes bijak menghidu umpanan Christian Eriksen untuk menewaskan Vicente Guaita.

Bagaimanapun, United mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk melebarkan kelebihan itu dalam babak kedua dan kesempatan itu dimanfaatkan Olise untuk menyamakan kedudukan dengan jaringan gemilangnya pada penghujung perlawanan.

Kekalahan itu juga bermaksud The Red Devils terlepas peluang untuk menduduki tangga kedua EPL buat kali pertama sejak September 2021.