TOTTENHAM HOTSPUR 0 ARSENAL 2

Mikel Arteta berasakan bahawa Arsenal "mara setapak lagi" selepas kejayaan menewaskan Tottenham 2-0 dalam aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan The Gunners kini berkelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.

Penjaga gol Spurs, Hugo Lloris, melakukan kesilapan terjaring gol ke gawang sendiri sebelum Martin Odegaard menggandakan kelebihan itu untuk penguasaan penuh Arsenal dalam babak pertama ditamatkan dengan kemenangan 2-0 di Stadium Tottenham Hotspur.

Dengan kelebihan lapan mata di tangga teratas, ia merupakan jurang terbesar pernah dilakukan Arsenal dalam liga divisyen utama berkenaan apabila bermain dengan jumlah perlawanan yang sama dengan pencabar terdekat mereka sejak hari perlawanan terakhir musim 2003-04 -- sewaktu mereka memenangi liga dengan kelebihan 11 mata.

Dengan melengkapkan kedua-dua kemenangan ke atas Spurs musim ini dan kemenangan pertama di gelangang seteru itu sejak musim 2013-14, Arteta percaya pasukannya telah membuktikan mereka layak untuk mencabar gelaran musim ini berdasarkan prestasi cemerlang mereka.


Pengurus Arsenal itu berkata kepada Sky Sports: "Saya gemar dengan cara kami bermain dan keberanian yang telah kami tunjukkan untuk datang dan bermain di sini.

"Dengan melakukan tugas kami, ia boleh menggembirakan ramai orang dan saya pasti kami telah membuatkan penyokong Arsenal amat gembira. Segala apa yang kami mahukan, mereka amat berkeinginan dan mencuba untuk melakukannya.

"Mereka adalah sekumpulan pemain yang luar biasa. Saya fikir hari ini kami telah melangkah setapak lagi. Kami menang musim lalu di stadium-stadium besar tetapi dengan cara kami menang hari ini, ia amat gembira untuk disaksikan.

"Ia menunjukkan bahawa bukan sekadar keazaman dan kegigihan tetapi anda perlu mempunyai kepercayaan dan kualiti untuk menewaskan pasukan ini. Ini adalah sesuatu yang sememangnya difikirkan setiap pemain.

"Kami benar-benar agresif. Kami benar-benar intensif sewaktu melakukan tekanan tinggi. Kami memenangi banyak bola dan perebutan di udara.

"Mereka mencipta beberapa peluang, mereka pasukan yang berbahaya tetapi kami melakukan banyak perkara dengan amat baik," katanya.