Kejohanan Pertandingan Muay Thai Duo Antarabangsa 2025 di Kelantan membuktikan popularitinya dengan lebih 140,000 tontonan secara langsung melalui media sosial serta kehadiran kira-kira 10,000 penonton di lokasi acara.
Dikenali sebagai seni bela diri yang menguji ketahanan fizikal dan mental, Muay Thai bukan sekadar aksi di dalam gelanggang, tetapi turut menjadi platform bagi bakat tempatan melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Penaja kejohanan, Wan Afiq Amirul Wan Roslan berkata sambutan luar biasa yang diterima membuktikan sukan Muay Thai semakin berkembang dalam kalangan peminat tempatan.
"Saya sangat terharu dengan sambutan hebat ini. Semua pertarungan berlangsung sengit dengan kehadiran petinju profesional seperti Jordan Boy, Izat Zaki dan Syam Anak Kapak," katanya kepada Bernama selepas kejohanan di Padang KRT Beris Kubur Besar, di sini malam tadi.
Beliau berkata kejohanan itu bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada petinju profesional, tetapi juga membuka peluang untuk mereka bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, atlet Muay Thai negara Putra Abdullah Mahmoud, 20, yang terkenal dengan kombinasi serangan lutut dan siku yang agresif, mencuri tumpuan apabila menumbangkan lawannya Sabri Thaivisix dari Terengganu dalam kategori 62 kilogram.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Putra Abdullah merangkul tali pinggang Duo Antarabangsa dan mengukuhkan reputasinya sebagai antara petinju tempatan yang berpotensi bersaing di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, Wan Afiq Amirul turut menyatakan hasratnya untuk terus mempromosikan Muay Thai sebagai sukan yang mampu menarik minat anak muda.
"Kami juga merancang untuk menganjurkan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Ex-Treble Kelantan dalam masa terdekat bagi memberi lebih banyak ruang kepada atlet tempatan menyerlah," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa kekurangan dalam siaran langsung kejohanan kali ini, termasuk gangguan Internet yang menyebabkan sedikit kelewatan dalam penyiaran.
"Kami mengambil maklum perkara ini dan akan membaikinya pada penganjuran akan datang. Saya berharap lebih banyak pihak akan terus menyokong perkembangan sukan ini," katanya.
Kejohanan berkenaan mempertandingkan tujuh regu dengan 14 petinju profesional, masing-masing mempamerkan kehebatan teknik dan ketangkasan dalam seni bela diri Muay Thai.
Lebih sekadar sukan tempur, acara ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan komuniti menerusi sukan dan budaya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)