MELAKA: Dua jaringan Ifedayo Olusegun membantu Melaka United mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Selangor FC 2-0 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Minit-minit awal perlawanan menyaksikan kedua-kedua pasukan cuba mencari titik kelemahan masing-masing menerusi gerakan ke arah kubu lawan namun tidak menemui sentuhan penyudah walaupun Selangor juga dilihat sering melakukan hantaran yang mengancam pertahanan Melaka United.

Bagaimanapun, pada minit ke-39 tuan rumah memecah kebuntuan menerusi jaringan Ifedayo yang menerima umpanan di depan pintu gol, hasil gerakan pantas Sony Norde menewaskan pertahanan Selangor.

Tersentak dengan jaringan itu pasukan Gergasi Merah Kuning cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dengan melakukan beberapa percubaan.

Peluang terbaik Selangor adalah menerusi sepakan percuma Muhammad Mukhairi Ajmal pada minit ke-41 namun tersasar ke sebelah kanan gawang biarpun bola itu terlepas daripada jangkauan penjaga gol Melaka United, Bryan See Tian Keat dan kedudukan itu kekal hingga tamat separuh masa perlawanan.

Bersambung di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat lebih bersemangat memburu gol terutamanya Selangor yang terdesak untuk menyamakan kedudukan menerusi gerakan Brendan Gan, Herlison Caion, Muhammad Mukhairi dan Quentin Cheng.

Namun skuad Sang Kancil memanfaatkan peluang dengan melakukan serangan balas pantas sekali lagi menerusi jaringan Ifedayo pada minit ke-57 bagi jaringan keduanya pada perlawanan itu.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Melaka United memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga kelapan liga manakala Selangor kekal di tangga ketujuh dengan masing-masing mengumpul 12 mata.

-- BERNAMA