AL-NASSR mungkin menjadi kelab terakhir dalam karier Cristiano Ronaldo sebelum bersara.

Ronaldo berpindah ke Liga Pro Saudi pada 2022-23 sebaik dilepaskan oleh Manchester United dan sejak itu telah meledak 74 gol dalam 81 perlawanan dengan purata satu gol dalam setiap 97 minit.

Musim lalu, Ronaldo memecahkan rekod jaringan semusim terbanyak Liga Pro Saudi dengan 35 gol.
Pada usia 39 tahun, Ronaldo belum bercadang untuk bersara lagi tetapi dia memberi isyarat bahawa dia mungkin akan menutup tirai kerjayanya yang sarat trofi di kelabnya itu.


Dia memberitahu saluran Portugis, NOW: "Saya tidak tahu sama ada saya akan bersara tidak lama lagi atau dalam dua atau tiga tahun lagi. Tetapi, mungkin, ia akan berada di Al-Nassr.


“Ia adalah sebuah pasukan di mana saya bergembira, di mana saya rasa bagus, di mana saya berasa sihat, baik di sekitar negaranya mahupun dalam liga.

"Sebab itu, kemungkinan besar saya boleh menamatkan karier di Al-Nassr. Saya sangat gembira bermain dalam liga itu dan saya mahu meneruskannya." - Stadium Astro