CRISTIANO Ronaldo menepis spekulasi mahu meninggalkan kelabnya, Al-Nassr dan menegaskan dia dan keluarganya gembira tinggal di Arab Saudi.

Ronaldo meraikan tempoh dua tahun di Arab Saudi bersama kelab Al-Nassr dan dalam satu temubual, dia menyatakan masih bersemangat untuk memburu kejuaraan bersama kelab itu.

“Saya gembira dan keluarga saya gembira. Kami memulakan hidup baru di negara yang indah ini.

“Kehidupan dan bola sepak yang bagus. Dari segi individu dan berpasukan, kami masih perlu menambah baik prestasi," katanya.

Impak Ronaldo sejak tiba di Al-Nassr sememangnya tidak dapat dinafikan dan semasa musim pertamanya, dia memecahkan rekod Liga Profesional Arab Saudi untuk gol terbanyak dalam satu musim, menjaringkan 35 gol dalam 31 perlawanan sekali gus memenangi Kasut Emas.

Bagaimanapun, Al-Nassr gagal merangkul kejuaraan liga mengakhiri saingan di tempat kedua di belakang pencabar Al-Hilal.

Musim ini, Al-Ittihad yang diketuai oleh bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Karim Benzema mendahului liga.

Walaupun persaingan sengit, Ronaldo tetap optimis mengenai prospek Al-Nassr untuk menjadi kelab digeruni.

“Sukar untuk bersaing dengan pasukan seperti Al-Hilal dan Al-Ittihad, tetapi kami masih di sana, masih mencabar dan berjuang.

“Bola sepak mempunyai detik baik dan buruk, tetapi perkara yang paling penting ialah bersikap profesional, berusaha keras, menghormati kelab, menghormati kontrak anda, dan percaya bahawa perkara akan berubah.

"Untuk Al-Nassr, kami akan terus berusaha untuk memenangi lebih banyak gelaran," katanya. - Sinar Harian