Pengendali Chelsea, Jose Mourinho menggesa penyerang taruhannya, Diego Costa agar lebih bijak membaca perlawanannya menjelang pertemuan dengan Tottenham Hotspur minggu ini.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu menyumbat 20 gol dalam 26 perlawanan yang disertainya pada musim pertamanya di Stamdorf Bridge yang membawa kepada trofi liga.

Namun dia gagal mengulangi sentuhan tajamnya dengan hanya menghasilkan tiga gol dalam 11 perlawanan, dan salah satunya ketika dia menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika bertemu Norwich City minggu lalu.

Justeru Mourinho menuntut Costa agar lebih bijak dengan tindakannya bagi mengembalikan semula prestasinya.

"Dia tidak membaca permainan dengan baik di atas tindakannya, itu pendapat saya.

"Selaku penyerang dia harus membaca. Anda perlu bertindak bukan sahaja ketika mendapat bola, tetapi ketika tanpa bola," ujar Mourinho.

Dalam pada masa yang sama Mourinho menegaskan beliau menaruh kepercayaan terhadap benteng Chelsea walaupun tanpa John Terry.

"Kurt Zouma dan Gary Cahill bersedia andai John tidak beraksi. Saya akan memilih mereka."

Chelsea akan berdepan Tottenham pada Ahad jam 8 malam, manakala Liverpool akan berhitung dengan Swansea City pada awal pagi Isnin.