CHILE 0 PERU 3

Impian Chile untuk meraih kejuaraan Copa America buat kali ketiga berturut-turut musnah apabila tewas 0-3 kepada Peru dalam aksi separuh akhir di Porto, sebentar tadi.

Gol separuh masa pertama daripada Edison Flores dan Yoshimar Yotun sebelum Paolo Guerrero menghasilkan gol ketiga pada penghujung perlawanan, menghancurkan hasrat La Roja untuk menyamai pencapaian Argentina, sekali gus membawa Peru ke final pertama sejak 1975.

Peru layak ke pusingan kalah mati kejohanan selepas muncul salah satu daripada dua pasukan yang terbaik di peringkat kumpulan, namun skuad kendalian Ricardo Gareca itu memaparkan prestasi meyakinkan untuk berdepan tuan rumah, Brazil, dalam aksi final di Maracana, Ahad ini.

Hari memalukan Chile dilengkapkan dengan sepakan penalti Eduardo Vargas yang tepat ke dakapan penjaga gol Peru, Pedro Gallese, pada penghujung aksi.



Aksi menghiburkan disajikan sejak awal perlawanan apabila Christian Cueva dan Charles Aranguiz melakukan percubaan yang tersasar daripada gawang lawan masing-masing.

Peru terlebih dahulu mendapatkan rentak dan menghukum kerapuhan pertahanan Chile pada minit ke-20.

Hasil umpanan Cueva dari sebelah kanan, Andre Carrillo menanduk bola ke arah Flores sebelum pemain sayap itu menyepak kencang jaringan pembukaan.

Berselang 18 minit, Gabriel Arias melakukan kesilapan besar apabila penjaga gol itu meninggalkan kawasan kawalannya untuk mengatasi Carrillo dan kegagalannya itu dimanfaatkan pemain berkenaan untuk melakukan hantaran ke arah Yotun, yang melakukan voli kencang untuk menggegarkan jaring lawan.

Gallese kemudian melakukan tiga aksi menyelamat cemerlang untuk mempertahankan kelebihan dua gol pasukannya sebelum Guerrero memutlakkan kemenangan Peru pada minit ke-91.

Terjahan kasar Luis Abram ke atas Aranguiz memberikan Chile sepakan penalti pada penghujung aksi, namun sepakan penalti ala "Panenka" yang dilakukan Vargas tepat ke dakapan Gallese.