Ringkasan AI
- Lee Zii Jia, pemain perseorangan profesional negara, bersedia membawa tenaga dan aura positif ke Sukan Olimpik 2024 Paris, di mana beliau akan membuat penampilan kedua di Olimpik.
- Zii Jia menyatakan bahawa cintanya kepada badminton telah kembali, dan dia berharap dapat membawa semangat ini ke pertandingan Olimpik, di mana dia akan bersaing dalam peringkat Kumpulan G bersama pemain Sri Lanka Viren Nettansinghe dan pemain Sepanyol Pablo Abian.
- Sekiranya berjaya mengungguli peringkat kumpulan, Zii Jia mungkin akan bertemu dengan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting dalam pusingan 16 terbaik untuk memburu tempat di suku akhir, dengan harapan membawa pulang emas dari Paris.
Pemain ranking ketujuh dunia itu yang membuat penampilan kedua di Olimpik berkata beliau kini sudah kembali menemui keseronokan bertanding di dalam sukan itu selepas menyatakan hasrat 'berehat' seketika November lepas.
"Cinta saya kepada badminton kembali dan ia satu perkara yang baik. Kami tiada banyak masa sebelum Olimpik jadi saya harap dapat membawa kesemua tenaga, aura (baik) ini serta perkara-perkara positif.
"Saya sentiasa mencuba sesuatu yang baharu yang belum dicuba orang. Saya hanya cuba untuk menenangkan diri sendiri dan lebih menikmati permainan terutama di Olimpik," katanya dalam satu temu bual dikongsikan laman Facebook rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Zii Jia akan turun ke gelanggang di Porte de La Chapelle Arena (Adidas Arena), Paris pada 27 Julai bagi aksi peringkat Kumpulan G.
Atlet berusia 26 tahun itu mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan setelah diundi bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol Pablo Abian.
Sekiranya mengungguli peringkat kumpulan, Zii Jia berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting (kesembilan dunia) dalam pusingan 16 terbaik untuk memburu tempat di suku akhir.
Atlet kelahiran Kedah itu sebelum ini menetapkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Paris.
Olimpik Paris menjadi penampilan kedua Zii Jia di temasya terbesar dunia itu selepas Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lepas.
-- BERNAMA