Jika pemain badminton Datuk Lee Chong Wei mengikut pendekatan bijak Lin Dan dalam memilih kejohanan pasti tidak akan wujud skandal doping yang berupaya memusnahkan legasi ikon sukan Malaysia itu.

Itu pandangan bekas perseorangan utama negara Ong Ewe Hock yang mengganggap Chong Wei tersilap langkah apabila terlalu mahu menjaga statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

Tuntutan untuk selalu beraksi di pentas tertinggi pada usia 32 tahun adalah antara faktor mengapa Chong Wei memerlukan rawatan secara konsisten untuk proses pemulihan daripada pelbagai kecederaan.

'Chong Wei terpaksa berdepan dengan reaksi pihak penaja yang pastinya tidak endah mengenai masalah dihadapinya (Chong Wei) dan pada masa yang sama memungkinkan dia berdepan masalah dengan pihak penaja dan juga mungkin masa depan terjejas.

Chong Wei
Ewe Hock memetik sebagai berkata dia dan barisan bekas pemain negara memberikan sokongan kepada Chong Wei. - Sumber Foto/Astro AWANI
Ewe Hock turut menegaskan dia dan barisan bekas pemain negara memberikan sokongan kepada Chong Wei.

Malah dia mahu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengkaji secara terperinci kes Chong Wei sebelum menjatuhkan hukuman kepada pemain itu.

Ewe Hock melihat insiden ini membawa kepada satu kehilangan kepada arena badminton dunia.

"Pastinya, satu kerugian kepada dunia badminton kerana Chong Wei merupakan pemain nombor satu dunia yang akan digantung selama dua tahun.


"Malaysia juga akan kehilangan seorang ikon sukan yang banyak mengharumkan nama negara. Saya harap sesi pendengaran BWF itu nanti akan membuahkan hasil pengurangan hukuman buat Chong Wei," kata Ewe Hock.