Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menempah tiket ke suku akhir selepas menundukkan pemain India Ajay Jayaram pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Kowloon, Hong Kong, Khamis.

Chong Wei, pilihan utama pada kejohanan itu, menerima tentangan sengit daripada lawannya berusia 25 tahun itu sebelum mencapai keputusan 21-18, 21-19 dalam masa 35 minit.

Jaguh negara itu akan berdepan dengan Nguyen Tien Minh dari Vietnam pada perlawanan seterusnya.

Turut mengiringi Chong Wei ke suku akhir ialah Mohamad Arif Abdul Latif apabila beliau menjinakkan pemain tuan rumah Hu Yun 21-17, 21-17.

Bagaimanapun, Mohamad Arif, yang menduduki ranking ke-42 dunia, bakal menghadapi laluan sukar apabila bertemu dengan pilihan keenam, Kenichi Tago dari Jepun esok.

Pemain nombor dua negara, Liew Daren gagal melepasi pusingan kedua apabila tunduk kepada pemain pilihan kedua Cheng Long dari China dengan 8-21, 13-21.

Sementara itu, beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menjadi beregu pertama melangkah ke separuh akhir selepas lawan mereka pada suku akhir esok, Ko Sung Hyun/Le Yong Dae dari Korea Selatan, menarik diri.

Beregu nombor dunia itu sebelum itu mengatasi beregu England, Chris Adcock/Andrew Ellis 25-23, 21-17 pada pusingan kedua.

Wakil Malaysia lain yang turut mara ke suku akhir ialah beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, beregu lelaki Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan beregu wanita Goh Liu Ying/Lim Yin Loo.