Bintang muda negara, yang kini berkelana di Portugal, Nazmi Faiz Mansor dilaporkan akan diberi pelepasan selama enam bulan oleh kelabnya, SC Beira Mar.

Laman web kelab Liga Super Portugal itu, mengeluarkan kenyataan mengenai Nazmi, 29 januari lalu.

Menurut laman web Beira Mar, Nazmi dilepaskan untuk beraksi di saingan konfederasi bola sepak Asia, AFC.

Namun, kenyataan itu menimbulkan keraguan, kerana tiada saingan peringkat bawah umur AFC, membabitkan skuad Harimau Muda A.

Tugasan seterusnya buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu, hanyalah Sukan SEA Myanmar pada Disember.

Nazmi juga, tidak disenaraikan pengendali skuad senior kebangsaan, Datuk K. Rajagobal untuk kelayakan Piala Asia.

Dalam pada itu, Kim Swee yang kini bersama skuad Harimau Muda A di Australia, tidak tahu menahu mengenai kepulangan Nazmi.