SKUAD lelaki negara menepati ramalan untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia selepas menumpaskan juara bertahan, Indonesia, 3-0 di Setia City Convention Centre, Shah Alam sebentar tadi.

Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia, mempamerkan aksi tenang dan bertenaga untuk bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menang 14-21, 21-12, 21-10 ke atas Chico Aura Dwi Wardoyo dalam masa 50 minit.

Aksi lebih mendebarkan disajikan oleh beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang turut tewas set pertama 17-21 sebelum bangkit memenangi dua set terakhir 21-13, 21-18.

Mata kemenangan Malaysia disumbangkan oleh perseorangan meningkat naik, Ng Tze Yong, yang hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay 21-14, 21-15.

Sebagai rekod, kejohanan dwitahunan ini juga merupakan pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, di mana empat pasukan terbaik akan layak ke acara berpasukan itu pada Mei depan.

Ia juga merupakan kejuaraan pertama Malaysia sejak edisi pertama diperkenalkan pada 2016.


Artikel asal disiarkan Stadium Astro.