Calon pilihan kapten Skuad Senior Kebangsaan ke aksi kelayakan Piala Asia 2015, Aidil Zafuan Abdul Radzak menyifatkan barisan pasukan negara kali ini seimbang, malah mempunyai kekuatan tersendiri bagi menghadapi aksi pertama berdepan Qatar pada 6 Februari ini.

“Hanya sekadar pengalaman yang membandingkan pemain-pemain disini namun dari segi kebolehan saya lihat semua boleh dikatakan setaraf,” kata Aidil.

Turut senada dengan pemain pertahanan Johor Darul Takzim itu ialah pemain sayap Pahang, Azamudin Akil.

Azamudin atau Alex yakin barisan pemain kali ini berupaya memberi dimensi baru kepada pasukan dalam mengharungi ranjau tersebut.

Ekoran masalah kecederaan, Ketua Jurulatih Negara, Datuk K. Rajagobal terpaksa memanggil lima muka baru bagi menghadapi perlawanan itu.

Mereka ialah Fauzi Roslan, Norfarhan Mohamad, Nik Shahrul Azim Ab Halim, Shukor Jusoh dan Afisie Faisal Mamat.

Manakala tujuh pemain yang lama sudah tidak beraksi turut kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan antaranya Amri Yahyah, Asrarudin Putra Omar, Abdul Hadi Yahya, Ashaari Samsudin, dan Helmi Rameli.