Angin kuat dan hujan di Gold Coast, Australia tidak menjejaskan latihan skuad Harimau Muda A di sana.

Kebanyakkan kawasan di Queensland kini ditenggelami air akibat banjir buruk di sana termasuk di Brisbane.

“Terdapat angin kuat tetapi selain daripada itu, kami tidak mempunyai seberang masalah berlatih di sini,” kata jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang kini berada di Gold Coast yang terletak lebih kurang 80km dari Brisbane.

“Kami sepatutnya menentang Brisbane Lions dalam satu perlawanan persahabtan hari ini (Selasa) tetapi perlawanan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana keadaan padang yang kurang baik. Kami akan bermain Brisbane Lions esok.”

Namun, berita mengenai keadaan banjir di kawasan timur Australia itu agak membimbangkan.

“Ianya dilaporkan oleh semua media di sana. Keadaannya agak teruk juga. Kami amat bernasib baik Gold Coast tidak terjejas.

Skuad Harimau Muda A telah mula berlatih di Australia sejak 23 Januari untuk beberapa siri perlawanan persahabatan dengan kelab bola sepak di sana sebagai persiapan untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Myanmar akhir tahun ini.

Kim Swee berpuas hati dengan persembahan anak buahnya semenjak berlatih di Australia.

“Mereka menunjukkan prestasi yang baik terutamanya bila membuat gerakan dan dapat menyimpan bola. Seperti diketahui, pemain-pemain Australia mempunyai fizikal yang kuat namun pemain kita dapat menyaingi mereka."

Skuad Harimau Muda A dijadualkan pulang ke Malaysia pada 7 Februari dan akan menentang Myanmar dalam satu perlawanan persahabatan di Yangon pada 22 Februari.