KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia menawarkan pemain beregu wanita profesional negara, Ng Qi Xuan, untuk menjalani rawatan pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) susulan kecederaan lutut yang dialaminya pada kejohanan badminton Malaysia Super 100 yang baru berakhir.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, walaupun pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain profesional, beliau tetap seorang pemain Malaysia dan pernah bernaung di bawah badan induk tersebut.

"Ya, kami telah mengadakan perbincangan dalaman tentang cara kami dapat membantunya. Kami sedia membantu jika dia ingin menjalani rawatan pemulihan, tetapi mungkin dia boleh melakukannya di ABM.

"Saya juga telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dan beliau) juga telah menawarkan bantuan seberapa yang boleh," katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Ketika ditanya sama ada Qi Xuan perlu menjalani pembedahan, Kenny berkata, beliau belum menerima sebarang pengesahan mengenai perkara tersebut tetapi memaklumkan bahawa Qi Xuan masih dirawat di hospital dan BAM merancang untuk menziarahinya dalam masa terdekat.

Qi Xuan dilaporkan mengalami kecederaan lutut semasa cuba membalas serangan pihak lawan dengan 'smash' yang menyebabkan dia dan pasangannya Yap Rui Chen, terpaksa menarik diri ketika mereka hanya satu mata sahaja untuk meraih kemenangan.

Qi Xuan-Rui Chen sedang mendahului 22-20, 20-18 terhadap Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dari BAM dalam kejohanan peringkat separuh akhir, Sabtu lepas. - BERNAMA