Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang mempersiapkan barisan pemain muda jika jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan untuk bersara dari arena badminton tidak lama lagi.

Pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann berkata, selain tiga pemain senior - Lee Zii Jia, Cheam Jun Wei dan Soong Joo Ven - mereka juga menampilkan beberapa pemain baharu yang berbakat seperti Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King yang diserapkan ke skuad senior awal tahun ini.

Turut disenaraikan dalam barisan yang bakal ditampilkan ialah Leong Jun Hao, Muhammad Ziyad Md Tah, Tan Jia Wei dan Lim Chi Wing.

Spekulasi mengenai persaraan Chong Wei bertiup kencang selepas pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu dilaporkan telah bertemu presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan para jurulatih untuk membincangkan masa depannya.

"Zii Jia menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Bagi Cheam dan Soong, kami telah menyaksikan beberapa peningkatan tetapi belum mencukupi berbanding apa yang telah dicapai oleh Zii Jia sejak enam bulan terakhir hingga satu tahun," kata Choong Hann.

"Bagi pemain muda, mereka berpotensi. Mereka berusaha keras untuk membina penampilan, berat badan dan meningkatkan kekuatan. Dan mereka dapat menyesuaikan dalam slot senior dan intensiti latihan sekarang. Kami akan meneruskan usaha untuk membina kekuatan mereka," kata beliau kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara pada Selasa.

Choong Hann menarik perhatian bahawa jabatan kejurulatihan sedang menyesuaikan perancangan pertandingan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain-pemain berkenaan untuk beraksi pada kejohanan bagi meningkatkan prestasi mereka.

Tetapi, beliau mengaku bahawa ia agak sukar untuk beraksi pada International Series (IS) atau Cabaran Antarabangsa (IC) tanpa platform atau ranking yang tinggi.

"Kami mendapati sukar untuk menimba pengalaman tanpa dapat beraksi. Kami menyesuaikan perancangan pertandingan agar mereka diberi peluang beraksi untuk memperbaiki diri mereka. Mereka telah giat menjalani latihan dan memperoleh slot untuk beraksi pada pertandingan.

"Kami sedang mengenal pasti kira-kira enam hingga lapan pertandingan dalam tempoh enam bulan ini. Menjelang akhir tahun ini, banyak persaingan serantau adalah seperti kejohanan utama. Kami sedang menyesuaikannya untuk mengasah bakat mereka, " katanya.

Choong Hann berkata sudah tiba masanya bagi pemain-pemain berkenaan mula untuk mempamerkan pencapaian yang membanggakan atau memberi cabaran kepada beberapa pemain ranking lebih tinggi.

Beliau berkata jika pemain mengekalkan pencapaian cemerlang mereka, mereka bakal menjadi pemain yang berkaliber dalam masa satu atau dua tahun.

"Sekiranya mereka beraksi di peringkat akhir, atau mungkin memenangi IC atau IS, itu boleh menjadi ukuran bagi menuilai pencapaian mereka. Mereka harus mula menunjukkan pretasi yang baik berdasarkan pemerhatian pasukan kejurulatihan kami, dalam tempoh satu setengah tahun, " kata beliau.

-- BERNAMA