KUALA LUMPUR: Juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas pada peringkat suku akhir Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena di sini, semalam.

Pilihan kedua kejohanan itu gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka apabila dikejutkan pilihan kelapan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia, 18-21, 19-21 selepas 52 minit.

Wooi Yik yang kecewa, mengakui aksi Leo-Daniel lebih baik semalam dan mereka lebih bersedia.

"Kami tidak cukup sabar. Kami telah cuba yang terbaik namun mereka lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Ditanya mengenai misi seterusnya, Wooi Yik berkata mereka tidak akan menyertai Terbuka Thailand di Bangkok pada 30 Mei-4 Jun ini dan kembali beraksi pada Terbuka Singapura pada 6-11 Jun.

Sementara itu, Leo-Daniel akan menentukan tempat ke final dengan menentang satu lagi beregu kebangsaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun membuat kejutan dengan mengejutkan bekas juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 23-21, 21-17 yang juga merupakan kemenangan terbesar dalam kerjaya mereka setakat ini.

Selain itu, beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga gagal mara ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada beregu Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-15, 16-21, 14-21.

-- BERNAMA