IPOH:Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dipanggil menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini hari ini.

Kedua-dua mereka yang menaiki kenderaan sama dilihat memasuki perkarangan istana itu sekitar jam 3.48 petang.

Namun, mereka yang keluar selepas hampir 30 minit berada dalam Istana Kinta tidak memberi sebarang reaksi balas kepada media yang berkumpul di perkarangan istana itu.

Kehadiran kedua-dua pemimpin itu menimbulkan spekulasi bahawa Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu akan dipilih semula sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Bagaimanapun, UMNO masih belum memperoleh majoriti mudah untuk mengetuai kerajaan Perak berdasarkan kenyataan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini bahawa tiada mana-mana pihak yang memperoleh sekurang-kurangnya 30 ADUN bagi membentuk kerajaan.

"Dia (Saarani) memohon untuk menghadap (Sultan Nazrin) bersama Datuk Seri Zambry dan diperkenankan," kata Annuar kepada media di perkarangan Istana Kinta.