Sebarang keputusan mengenai kepimpinan tertinggi UMNO serta isu berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah diselesaikan semasa perjumpaan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 11 Mei lepas.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerana itu tidak timbul sebarang persoalan kini tentang keperluan membuat mesyuarat tergempar parti seperti desakan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin di dalam blognya.

"Hendak mesyuarat tergempar apa lagi? Zam hendak desak siapa pula turun jawatan kerana video? Semua isu termasuk aspek susulan sudah diselesaikan semasa mesyuarat MKT UMNO pada hari ulang tahun UMNO ke-69 lepas.

"Kita sudah selesaikan isu ini, sudah nyatakan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan buat keputusan itu dua minggu lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Muhyiddin akan hilang kewibawaan jika tidak tegas dalam isu 1MDB - A.Kadir Jasin

Tajuddin mengulas kenyataan Zainuddin di dalam blognya yang menyatakan UMNO perlu mengadakan mesyuarat tergempar MKT bagi membincangkan sama ada wajar memecat Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas videonya mengkritik Najib berhubung isu 1MDB tersebar.

BACA: UMNO 69 tahun: Guna taktik kontemporari raih sokongan rakyat - Mas Ermieyati

"Mesyuarat tergempar ini juga perlu diadakan bagi membincangkan samada Tan Sri Muhyiddin wajar dipecat dari MKT seperti yang dilakukan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMMO terhadap Dr. Mahathir Mohamed pada 26 September 1969 setelah Tunku mendedahkan ada pihak pelampau hendak merampas kuasa dalam parti.

Sekiranya Muhyiddin tidak dipecat, maka jalan penyelesaian mestilah dicari bagi memastikan kesepaduan UMNO jika salah seorang; iaitu Muhyiddin atau Najib terpaksa berundur," kata Zainuddin ketika dipetik dari blognya zamkata.blogspot.com.

BACA: Imej UMNO tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB: Muhyiddin

Tajuddin turut menyifatkan Zainuddin sebagai orang lama yang sudah tidak duduk di dalam MKT sekali gus perlu memahami perjalanan mesyuarat parti kini.

"Buat mesyuarat tak semestinya tergempar, kena tenang-tenang. Zam ini orang lama yang sudah tidak duduk di dalam MKT lagi.

"Kita kena tenang-tenang jika hendak buat keputusan. Apa sahaja keputusan mengenai 1MDB sudah dibuat semasa mesyuarat MKT sebelum ini, tidak timbul lagi desakan untuk sesiapa letak jawatan," ujarnya.

BACA: UMNO 69: UMNO bukan parti kuatkan individu tertentu - Mohd Shafie

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, UMNO tidak harus dilihat sebuah parti eksklusif atau hanya menguatkan mana-mana individu dan pihak di dalam organisasi itu sendiri.

Tegasnya, kekuatan parti sebaliknya disifatkan terletak di atas dasar sokongan akar umbi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak.

BACA: Warga UMNO perlu bangkit demi masa depan parti: Hishammuddin

Sebelum ini Ahli MT UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilaporkan sebuah portal berkata, cadangan Zainuddin supaya Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengesahkan sokongan mereka kepada Najib dianggap tidak relevan.

Tegas Reezal, tiada keperluan untuk badan itu mengadakan mesyuarat tergempar selain memberitahu, tiada mana-mana ahli parlimen atau majlis tertinggi menyatakan mereka tidak lagi menyokong Najib.